Dakwah Di Pedalaman Sabah 3: Antara Kulit dan Isi
by Mohd Fadli Yusof on Thursday, May 19, 2011 at 8:13am

Kami hanya mendengar dengan tenang. Tidak menjawab, hanya tersenyum. Menghormati orang yang lebih tua. Menunggu masa sesuai...
Begitulah kami dilatih, agar bersabar, tidak gopoh dan tidak mudah melenting. Orang tua itu bagai serba salah bila kami hanya diam, lebih-lebih lagi tersenyum.
Ustaz Arabi mula bersuara lembut dan tenang. ”Pak cik, dalam dunia ini, semua benda ada kulit. Manusia, binatang, pokok...buah-buahan ada kulit. Buah pisangpun ada kulit.”
”Itu aku tahulah,” Kata orang tua itu.
”Tapi...” sambung Ustaz Arabi. ”Hanya ada satu benda di dunia ini yang tiada kulit.”
Terpinga-pinga orang itu. ”Apa dia?”
Ustaz Arabi tidak terus menjawab. Saya hanya tersenyum...saya tahu jawapannya.
Setelah hening beberapa ketika...nampaknya pak cik itu tidak sabar lagi menunggu jawapan.
Perlahan saja ustaz Arabi menyebut satu perkataan...”TAHI”.
Begitulah rupanya jika dalam hidup ini khususnya dalam mengamalkan Islam hanya mementingkan isi, tetapi melupakan kepentingan kulit. Kulit itulah SYARIAT atau amalan lahiriah, dan isi itulah HAKIKAT atau amalan bathin. Jika pegang hakikat saja (isi) menafikan kepentingan syariat (kulit), samalah tarafnya dengan benda itu...tiada nilai di sisi Allah.
Pak cik itu lantas berkata, ”Antara aku dengan kamu, aku lebih takutkan Allah!”
”Lihat, bila saya sebut ALLAH....tegak bulu roma saya, tanda saya takutkan Allah.” Sambungnya lagi sambi menunjukkan bulu roma ditangannya yang tegak berdiri.
Saya biarkan Ustaz Arabi menjawab, ”Pak cik, ada satu makhluk yang lebih takutkan Allah, iaitu bila disebut Allah, bukan saja tegak bulu roma, tetapi TERBAKAR.”
”Apa itu?” Orang tua itu bertanya.
Serentak kami menjawab, ”Syaitan!”
Dia terdiam, lalu kami mohon diri kerana orang lain sedang menunggu kami untuk agenda selanjutnya.
Bersambung lagi...
***********************************************
Nota:
Ulasan perbincangan di Cahayafm.net | Murabbi. net | Ikhwan Muslimin
1. Pengajaran buat pendakwah: Para pendakwah hendaklah bersikap tenang, tidak gopoh. Bersabar dan tidak cepat marah, lebib-lebih lagi dengan sasaran dakwah. Maksud sabda Rasulullah ﷺ "Bertenang-tenang itu dari Allah dan tergopoh-gopoh itu dari syaitan." Riwayat Al-Baihaqi
2. Syariat dan hakikat perlu dibawa bersama, seperti bandingan buah, perlunya isi kepada kulit agar isi tidak rosak, dan perlunya kulit kepada isi agar tidak dibuang orang begitu saja. Ilmunya boleh dipelajari lain-lain kitab dan guru, tetapi dalam beramal, ilmunya mesti diamal serentak. Contoh, dalam solat, ilmu tauhid (aqidah), ilmu feqah (syariat) dan ilmu tasawuf (akhlak/hati) mesti diamalkan serentak. Mesti yaqin yang disembah hanya Allah semata-mata, bukan dinding, bukan kaabah. Mesti menepati syarat dan rukunnya, dan mesti di dalam solat itu ada rasa khusyuk, rasa menghambakan diri kepada Allah. Barulah sempurna amalan.
3. Benarlah kata Imam Malik Rahimahullahu Taala: Barangsiapa berfeqah (syariat) dan tidak bertasawuf maka ia jadi fasik. Barangsiapa yang bertasawuf (hakikat) tanpa feqah maka ia adalah kafir zindik.
4. Ertinya kita mesti mengamalkan kedua-duanya sekali iaitu syariat dan hakikat. Kalau kita ambil salah satu kita tidak akan selamat. Kalau kita bersyariat sahaja tanpa dibendung oleh hakikat, kita jadi fasik. Dan kalau kita berhakikat sahaja tanpa kawalan syariat, maka hakikat itu akan mudah rosak dan bila terjadi begitu kita akan jatuh kafir zindik (kafir tanpa sedar).
5. Begitulah kepentingan kedua-dua syariat dan hakikat. Tetapi dalam keadaan keduanya, hakikatlah yang lebih utama. Benarlah sabda Rasulullah ﷺ:"Allah tidak memandang rupa dan harta kamu tetapi Dia memandang hati dan amalan kamu." (Riwayat Muslim)
6. Bukanlah bermakna syariat itu tidak dituntut, bahkan syariat juga adalah hukum-hukum yang fardhu yang wajib diamalkan oleh semua umat Islam. Cuma dalam keadaan keduanya (syariat dan hakikat) itu sama-sama diamalkan, Allah memberi keutamaan pada amalan hakikat. Seperti bandingannya, antara kulit dan isi buah (dalam keadaan keduanya sama pentingnya) tetapi manusia memberi keutamaan pada isi sebab ia boleh dimakan.
محمد فضلي بن يوسف
15 Jamadil Akhir 1432H
19 Mei 2011
Silakan share
(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150249066086719)


